Irama Kontemporari Menggugah Misi

Menyuap sesudu pengalaman, Menakwil hala impian, Memacu liku-liku perjalanan, Memahat rentetan suka duka coretan, Melahirkan bingkisan seribu harapan buat semua yang berkesempatan.... Irama Kontemporari Menggugah Misi

13 February 2011

NASYID TIDAK SALAH



JIKA dulu lagu nasyid hanya didengar golongan tua, sekarang ia menjadi kegemaran kanak-kanak, malah remaja dan belia turut terpikat dengannya. Reaksi positif masyarakat terhadap nasyid pasti melapangkan dada, terutama mereka yang menjadikan bidang itu sebagai saluran berdakwah.Tetapi bolehkah berdakwah melalui muzik itu? Bagaimana pula jika lagu itu digubah keterlaluan, sehingga hilang identitinya, apakah masih dikenali sebagai nasyid?

“Apabila bercakap mengenai nasyid, kita akan menyanyikan lagu yang menyedarkan, seperti memupuk keimanan,” kata bekas vokalis kumpulan Raihan, Nazrey Johani.Ketika bercakap dalam satu siri ceramah di depan pelajar Kolej Islam Antarabangsa, Batu Muda, Kuala Lumpur, baru-baru ini, beliau menasihati mereka yang bergiat dalam nasyid menyanyikannya dengan baik dan berniat hendak memperjuangkan Islam.

Sekiranya sesiapa hendak menghasilkan bermacam-macam rentak muzik yang kadangkala bunyinya tidak menentu, lebih baik menghasilkan lagu lain, bukannya lagu nasyid.Menurutnya, ini sesuai dengan tujuan penggiat nasyid itu sendiri menjadikan bidang itu untuk mendidik manusia kerana Allah.

“Jika niat betul tidak mencari kepentingan, tidak salah mengguna muzik, hendak nyanyi tidak salah.”Tetapi, katanya, apabila terlebih ia menjadi satu kesalahan. Sama dengan ketawa, ia tidak salah, tetapi lebih-lebih menjadi salah. “Buatlah apa-apa pun muzik tapi jangan berlebihan,” katanya.

Nazrey menegaskan, nasyid satu medium mendidik manusia, kerana tidak semua manusia suka kepada ceramah. Selalunya, mana-mana pihak pun menghasilkan album, tujuan pertamanya hendak jual album terbabit, kemudian hendakkan kelainan, supaya ia dapat menarik perhatian pendengar sekali gus diterima pasaran.Mungkin sebab itulah timbul pelbagai rentak, ada semacam rap atau hip-hop.

“Saya tidak salahkan muzik, tidak ada. Ulama kata haram (muzik), sebab apa dulu kata haram, sebab ia dikaitkan dengan arak dan menjadi halal kerana cari dan dekatkan identiti,” katanya.Penampilan dan persembahan nasyid dalam Islam selalunya sederhana, daripada suara penyanyi yang tidak terpekik sehinggalah pakaian yang diperagakan tidak keterlaluan, sopan dan boleh dijadikan ikutan.

Meninjau hukum nyanyian dan muzik, tidak ada ketetapan yang jelas kepada pengharamannya, malah Al-Qaradawi berani menyatakan Islam membolehkan nyanyian selama ia tiada mengandungi kata-kata yang kotor, cabul dan yang menghasut kepada perbuatan dosa dan maksiat.

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment