Irama Kontemporari Menggugah Misi

Menyuap sesudu pengalaman, Menakwil hala impian, Memacu liku-liku perjalanan, Memahat rentetan suka duka coretan, Melahirkan bingkisan seribu harapan buat semua yang berkesempatan.... Irama Kontemporari Menggugah Misi

08 June 2016

Ahlan Ya Ramadhan..


HAKIKAT PUASA

RAMADAN RAMADAN AL – KARIM

DI DUNIA TERBENTANG JALAN
KEPADA MEREKA YANG BERTUJUAN
MENGHALA KE JALAN TUHAN

BULAN MULIA BULAN RAMADAN
BERPUASA JADI AMALAN
RUKUN ISLAM KITA TUNAIKAN

PUASA ITU SATU KEWAJIPAN
KEMESTIAN MENGIMANI INSAN
SEMPURNA SYARATNYA WAJIB TUNAIKAN
KETAQWAAN JADI PEDOMAN

RAMADAN RAMADAN AL KARIM
ALLAH ALLAHU AKRAM

MENAHAN DIRI DARI LAPAR DAN DAHAGA
JUA PERKARA YANG MEMBATALKANNYA
BERMULA DARI TERBIT FAJAR HINGGA TERBENAM SURIA
BERNIAT DI MALAMNYA..ITULAH RUKUNNYA

ISLAM,BALIGH,BERAKAL SEMPURNA,MAMPU MELAKSANA
WAJIB KITA...LAKSANAKANNYA

RAMADAN AL-MUBARAK BULAN KEAMPUNAN
RAMADAN AL-MUBARAK BULAN KERAHMATAN
MENANAM RASA EHSAN DAN KESYUKURAN
TINGKAT KEIMANAN DAN KETAQWAAN

BERPUASA MENGAJAR ERTI KESABARAN
BERPUASA MENDIDIK ERTI KEIKHLASAN
BERPUASA MENGUNGKAP ERTI KESYUKURAN
BERPUASA INSAFI RASA KEHAMBAAN

LAILATUL QADAR YANG DIDAMBAKAN
KEPADA INSAN PILIHAN TUHAN
BULAN RAMADAN BULAN KEAMPUNAN
DISINARI CAHAYA KERAHMATAN

PERKASAKAN KEBAJIKAN DI BULAN MULIA
KEBAIKAN GANDAAN PAHALA INILAH HAKIKAT BERPUASA

Sekejap sahaja masa berputar, kini Ramadhan menjengah lagi menawarkan bonus dan saham dunia  akhirat untuk kita rebut. Marilah bersama kita mengambil peluang dan manfaat dari kelebihan bulan yang sentiasa dirindui ini. Kita top up amalan-amalan yang positif agar menjadi nilai tambah dan pelengkap ibadah kita sepanjang Ramadhan dan insyaallah berterusan untuk bulan seterusnya.

Ramadhan merupakan bulan tarbiah dan post mortem bagi diri kita koreksi diri, menambahbaik, memperbaiki, mengimarahkan ibadah-ibadah fardhu dan sunat dari masa ke semasa. Semoga ibadah kita lebih baik dari tahun sebelumnya.

Mengimbau sejarah...didalam khutbah terakhir bulan Sya'ban untuk persediaan menghadapi bulan Ramadhan, Rasulullah saw telah memberi nasihat kepada ummat Islam supaya menyempurnakan amal ibadah sepanjang bulan ramadhan, antaranya ialah:
  1. Solat sunat Tarawih
  2. Solat-solat sunat yang lain
  3. Bantu membantu sesama umat islam seperti bersedekah dan seumpamanya
  4. Memberikan hidangan berbuka puasa
  5. Banyakkan membaca tahlil
  6. Banyakkan beristighfar dan bertaubat, memohon keampunan kepada Allah swt
  7. Banyakkan berdoa memohon syurga dan perlindungan dari azab neraka
  8. Banyakkan bersabar, kerana bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran.
  9. Tinggalkan dan jauhi dari segala perbuatan maksiat dan kemungkaran, kerana ia boleh menghapuskan ganjaran pahala ibadah kita.

Nabi s.a.w. juga  menceritakan kelebihan dan keistimewaan Ramadhan, antaranya;


a) Ramadhan adalah penghapus dosa


Sabda Rasulullah s.a.w. melalui hadis yang disampaikan oleh Abu Hurairah r.a.;

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ، إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

“Solat lima waktu, jumaat ke jumaat dan ramadhan ke ramadhan merupakan penghapus dosa di antaranya selama mana dijauhi dosa besar”. (Riwayat Imam Muslim)

b) Pada bulan Ramadhan dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan


Sabda Rasulullah s.a.w;
إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيلَةٍ من شَهرِ رَمضَانَ صُفَّدتِ الشَّياطينِ ومَردَةُ الجنِّ وغُلِّقتْ أَبوابُ النِيرانِ فلَمْ يُفتَحْ منها بابٌ وفُتِّحتْ أَبوابُ الجنَّةِ فلَمْ يُغلَقْ منها بابٌ ويُنَادِي مُنَادٍ يا بَاغِيَ الخيرِ أَقبِلْ ويا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقصِرْ. ولله عُتَقَاءٌ من النَّارِ وذَلكَ كُلَّ لَيلَةِ

“Apabila tiba malam pertama Ramadhan akan diikat/dirantai segala syaitan dan jin-jin yang sesat, ditutup segala pintu neraka hingga tidak ada satu pintu pun yang dibuka, dibuka segala pintu syurga hingga tidak ada satu pintupun yang ditutup. Seorang penyeru (yakni Malaikat) akan berseru; “Wahai orang yang mengejar kebaikan! Tampillah kamu. Wahai orang yang ingin melakukan kejahatan! Undurlah kamu (yakni berhentilah dari melakukan kejahatan)”. Akan terdapat orang-orang yang bakal dibebaskan Allah dari api neraka. Hal demikian itu berlaku pada setiap malam (di sepanjang Ramadhan)”. (Riwayat Imam at-Tirmizi, Baihaqi dan Ibnu Hibban dari Abu Hurairah r.a.)

c) Lima anugerah khusus Allah untuk umat Muhammad di bulan Ramadhan


Sabda Rasulullah s.a.w.;
أُعْطِيَتْ أُمَّتِيْ فِي شَهْرِ رَمَضَاْنَ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ نَبِيٌّ قَبْلِيْ: أَمَّا الوَاْحِدَةُ فَإِنَّهُ إِذَا كَاْنَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَاْنَ نَظَرَ اللهُ إِلَيْهِمْ وَمَنْ نَظَرَ اللهُ إِلَيْهِ لَمْ يُعَذِّبْهُ أَبَدًا، وَأَمَّا الثَّانِيَةُ: فَإِنَّ خُلُوْفُ أَفْوَاْهُهُمْ حِيْنَ يُمْسُوْنَ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِنْ رِيْحِ الْمِسْكِ، وَأَمَّا الثَّاْلِثَةُ: فَإِنَّ الْمَلاَئِكَةَ تَسْتَغْفِرُ لَهُمْ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ، وَأَمَّا الرَّاْبِعَةُفَإِنَّ اللهَ تعالى يَأْمُرُ جَنَّتَهُ فَيَقُوْلُ لَهَا: اِسْتَعِدِّيْ وَتَزَيَّنِيْ لِعِبَاْدِيْ أَوْشَكَ أَنْ يَسْتَرِيْحُوْا مِنْ تَعَبِ الدُّنْيَا إِلَى دَاْرِي وَكَرَامَتِيْ، وَأَمَّا الْخَاْمِسَةُفَإِنَّهُ إِذَا كَاْنَ آخِرُ لَيْلَةٍ غَفَرَ اللهُ لَهُمْ جَمِيْعًا، فَقَاْلَ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ: أَهِيَ لَيْلَةُ الْقَدْرِ؟ قَالَ: لاَ أَلَمْ تَرَ إِلَى الْعُمَّالِ يَعْمَلُوْنَ فَإِذَا فَرِغُوْا مِنْ أَعْمَالِهِمْ وُفُّوْا أُجُوْرَهُمْ.

“Telah diberikan kepada umatku di bulan Ramadhan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada seorang nabi pun sebelumku, yaitu;
Di permulaan Ramadhan Allah akan melihat kepada umatku. Sesiapa Allah melihat kepadanya nescaya ia tidak akan diazab selama-lamanya.
Bau mulut mereka (yang berpuasa) ketika petang hari lebih wangi di sisi Allah dari bau kasturi.

Malaikat akan memohon ampun untuk mereka di sepanjang hari dan malam.
Allah menyuruh syurga supaya bersiap-sedia dengan berkata kepadanya; “Bersiaplah kamu dan berhiaslah untuk hamba-hambaKu. Mereka hampir datang (memasukimu) untuk beristirehat dari kepayahan dunia menuju ke rumahKu dan kemuliaanKu”.
Pada akhir malam bulan Ramadhan, Allah mengampuni dosa semua mereka. Seorang lelaki dari sahabat bertanya; ‘Adakah malam itu lailatul Qadar?’. Jawab Rasulullah; ‘Tidak. Apakah engkau tidak melihat kepada pekerja-pekerja yang bekerja. Apabila mereka telah selesai dari pekerjaan mereka, akan disempurnakanlah upah-upah bagi mereka”.
(Riwayat Imam Ahmad, al-Bazzar dan al-Baihaqi dari Jabir r.a.)


d) Malam al-Qadar

Antara kelebihan besar bulan Ramadhan ialah di dalamnya terdapat lalilatul-Qadar atau malam al-Qadar (kemuliaan) yang dinyatakan keistimewaannya secara khusus oleh Allah dalam surah al-Qadr;

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ، وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ، لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ، تَنَزَّلُ الْمَلاَئِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ، سَلاَمٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur’an) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar”. (al-Qadr: 1-5)

Walaupun surah di atas tidak menjelaskan bilakah akan munculnya malam al-Qadar?, namun jawapan bagi persoalan ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w. dalam sabdanya;

تحرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الأَوَاْخِرِ مِنْ رَمَضَاْنَ

“Carilah lailatul-Qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Saidatina Aisyah r.a.)

Begitulah antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan. Orang yang tahu menilainya sudah pasti tidak akan mensia-siakan peluang untuk merebut kelebihan-kelebihan tersebut. Bahkan Rasulullah sendiri pernah menegaskan;

لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي هَذَا الشَّهْرِ مِنَ الْخَيْرَاْتِ لَتَمَنَّوْا أَنْ يَكُوْنَ رَمَضَاْنُ اَلسَّنَةَ كُلَّهَا

“Sekiranya manusia benar-benar menyedari kebaikan-kebaikan yang ada di bulan Ramadhan ini, pastinya mereka akan mengharapkan supaya sepanjang tahun adalah Ramadhan”. (Riwayat Ibnu Abi Dunya)

Selain dari itu kita juga dapat melihat beberapa kelebihan lain yang menjadi inspirasi untuk kita memperbaiki diri dan amalan antaranya...

  • Sifat ikhlas
  • Mujadalah dan kekentalan jiwa
  • Sabar
  • Memelihara fizikal
  • Prihatin dan belas kasihan
  • Membuka hijab antara diri dengan Allah
  • Mengenali erti kejayaan sebenar
  • Rasa belas dan lemah lembut
  • Memperkukuhkan kesatuan ummah
  • Merapatkan hubungan dengan alam
  • Disiplin dan menjaga masa
  • Kesihatan tubuh badan
Oleh itu marilah sama-sama kita berpuasa dengan seikhlas-ikhlasnya. Jangan kita hanya berpuasa, kerana ikut orang lain berpuasa atau kerana bapa kita puasa, maka kita juga kena puasa.Kerana kawan-kawan kita berpuasa kita juga berpuasa. Hayatilah kelebihan-kelebihan berpuasa, agar kita sempurna di dunia dan di akhirat.